SANGKAR khas yang dibuat untuk meletakkan ayam hidup. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my

Shah Alam: Penduduk tempatan di Seksyen 25 terutama mereka yang beragama Islam jarang membeli di Plaza Sri Muda walaupun lebih dekat berbanding pasar dan pasar raya besar lain.

Ia susulan mereka khuatir dengan tahap kebersihan serta status halal terutama cara penyembelihan ayam di situ.

Suri rumah, Salmah Abu Bakar, 49, berkata, beliau hanya pergi ke pasar itu untuk membeli sayur dan buah-buahan di gerai milik warga tempatan saja.

Beliau berkata, kebanyakan peniaga di pasar itu adalah warga asing yang menjual bahan mentah seperti ayam, itik dan juga ikan.

“Apabila tengok cara ayam itu disembelih, saya jadi was-was. Saya tak yakin nak makan dengan lihat persekitaran yang sangat kotor walaupun warga asing yang jual itu beragama Islam.

“Jadi memang saya tidak beli bahan mentah seperti ayam dekat pasar ini. Saya sanggup pergi pasar yang sedikit jauh,” katanya.


AHLI CMM mengumpulkan data daripada peniaga di Plaza Sri Muda. FOTO Faliq Lajim

Dalam pada itu, Salmah berkata, kawasan itu dilihat dimonopoli warga asing hingga membuatkan dia sekeluarga tidak selesa.

“Kadang-kadang terasa seperti bukan ada dekat negara sendiri. Toleh kiri dan toleh kanan kebanyakan warga asing,” katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta yang hanya ingin dikenali sebagai Badrul, 29, berkata, beliau tidak menggalakkan sama sekali warga tempatan membeli di gerai warga asing di pasar berkenaan.


IKAN yang dihempaskan ke lantai kotor sebelum dijual kepada pengguna. FOTO Faliq Lajim

“Selalunya kalau orang tempatan menjual ikan hidup, mereka akan ketuk kepala ikan itu untuk mematikannya. Di sini ada peniaga warga asing yang campak ikan ke atas lantai yang kotor untuk matikan haiwan itu.

“Memang kotor. Nak makan pun tak sanggup. Jika nak beli saya sarankan beli tempat lain dan bukan di sini. Ia membabitkan soal kesihatan,” katanya.

Tinjauan di pasar berkenaan sebelum ini mendapati, bukan sekadar lantai pasar yang kotor, cara peniaga warga asing mengendalikan ayam dan ikan yang masih hidup juga memualkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 11:00 AM