Lokasi pergaduhan yang menyebabkan seorang wanita maut. FOTO Hasriyashah Sabudin
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


PENIAGA restoran maut ditikam di perut oleh peniaga kedai runcit dalam pergaduhan di Jalan Kerapu 23, Taman Permai, Seremban hari ini.

D Shaleni, 31, yang pada mulanya parah maut ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) jam 4 petang.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa dan suaminya yang berusia 49 tahun serta rakan berusia 60 tahun meletakkan kereta di hadapan kedai runcit itu untuk ke restoran mereka yang terletak berhampiran.

“Ketika itu, anak lelaki peniaga kedai runcit berusia 14 tahun bermain lampu laser dan terkena pada muka rakan pasangan itu menyebabkan mereka memarahi remaja itu.

“Pasangan itu kemudian masuk ke kedai runcit sebelum berlaku pertengkaran dengan ibu remaja terbabit yang kemudian menghalau mereka keluar dari kedainya.

“Suami mangsa dipercayai mengambil pisau pemotong sayur lalu mengacukannya kepada ibu remaja itu. “Tindakannya itu menyebabkan suami wanita itu yang juga pemilik kedai runcit masuk campur sehingga berlaku pergelutan.

“Pergelutan berlarutan ke depan kedai dan mangsa cuba meleraikannya sebelum pemilik kedai runcit tertikam perut mangsa,” katanya.

Katanya, akibat tikaman itu, mangsa parah dan tidak sedarkan diri manakala suaminya cedera di dahi serta tangan sementara rakan mereka cedera dada dan tangan.

Sumber itu berkata, suspek yang juga lelaki warga Pakistan berusia 54 tahun melarikan diri selepas kejadian.

Katanya, mangsa dihantar ke HTJ untuk rawatan namun keadaannya semakin teruk sebelum disahkan meninggal dunia jam 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, suspek kini diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 9:38 PM