Laporan mengenai keluhan Syazleen Anisa sebelum ini.
BERNAMA

SYAZLEEN Anisa Misria Norzihan sangat gembira kerana impiannya untuk bersanding bersama Muhamad Harith Rosli yang dikenalinya sejak 10 tahun lalu di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Cameron Highlands tetap menjadi kenyataan.

Malah lebih menggembirakan apabila majlis itu turut dihadiri dua tetamu istimewa yang aktif dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands - Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan calon Pakatan Harapan, M Manogaran.

Ramai pasti ingat, selepas tarikh pencalonan dan pengundian diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Syazleen, 26, menyuarakan kekecewaannya dalam laman Facebook (FB) rasmi SPR dan perkara itu menerima perhatian ramai pihak.

Jurutera itu sudah menempah dewan berkenaan lebih awal sebagai lokasi majlis bersanding pada 26 Jan iaitu tarikh sama SPR menggunakan tempat itu sebagai Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi PRK itu.

Syazleen dan keluarganya buntu untuk mencari penyelesaian memandangkan semua persiapan termasuk tempahan dewan, katering, dan jurugambar sudah dibuat, malah kad undangan juga diedarkan kepada jemputan.

Keresahannya turut mendapat perhatian Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam laman sosial yang berjanji untuk menyelesaikan masalah itu.

Bapanya, Norzihan Rijaludin segera berurusan dengan pegawai daerah dan pegawai SPR di situ dan segala masalahnya dapat diselesaikan dalam tempoh tujuh hari, dengan tarikh hari bahagia Syazleen diawalkan seminggu.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, segala dugaan sebelum ini dapat ditempuhi. Kerana pertolongan SPR, saya dapat juga melangsungkan majlis resepsi di dewan ini (Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah) juga.

“Mereka (SPR) juga ada bagi sumbangan kepada saya jadi terima kasih saya ucapkan,” kata Syazleen yang kelihatan cantik dengan busana pengantin biru.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) terbatal dan tidak sah.

Ia menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Manogaran, Mohd Ramli Nor (BN), Sallehudin Ab Talib (Bebas) dan Wong Seng Yee (Bebas).

Berita berkaitan

'Semua sudah selesai'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 7:44 PM