Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


TIGA lelaki disyaki terbabit kes samun bersenjata berjaya ditahan polis berikutan penemuan telefon bimbit milik seorang daripada suspek yang ditemui tercicir di lokasi kejadian, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian 5.18 pagi semalam, mangsa penjawat awam wanita berusia 33 tahun disamun dua lelaki bersenjata parang berhampiran Stesen Keretapi Parit Buntar.

Menurutnya, dalam kejadian itu mangsa sedang meletakkan kenderaan di tepi jalan sebelum dihampiri dua lelaki bermotosikal yang mengacukan parang dan menarik beg galas mangsa.

Katanya, berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa sebelum suspek berjaya merentap beg milik mangsa dan melarikan diri.

“Ketika kejadian mangsa bersendirian dan dalam perjalanan untuk menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ke Kuala Lumpur untuk urusan kerja.

“Menurut laporan dibuat mangsa, beg terbabit mengandungi Mykad, Mykid anaknya, lesen memandu B2, kad pengeluaran wang automatik (ATM) Maybank, wang tunai kira-kira RM900 dan tiket ETS pergi dan balik ke Kuala Lumpur,” katanya di Bagan Serai, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, mangsa kemudian membuat pemeriksaan di lokasi kejadian dan menemui telefon bimbit dipercayai milik suspek lalu menyerahkannya kepada pihak polis untuk siasatan.

“Hasil pemeriksaan pada telefon itu, polis menemui dua keping gambar dipercayai suspek yang terbabit sebelum membuat pengecaman.

“Hasil serbuan kira-kira 10 malam tadi di dua rumah berasingan di Kuala Kurau, polis menangkap tiga lelaki berusia 29 hingga 35 tahun dan merampas beg galas di dalamnya mengandungi dokumen milik mangsa,” katanya.

Beliau berkata, polis juga merampas sebuah motosikal model Yamaha 135 LC dipercayai digunakan ketika merompak dan parang berhulu panjang kira-kira 0.55 meter dipercayai senjata digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 2:42 PM