REMAJA cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya dengan membuat pusinga U dan melawan arus terbabit dalam kemalangan. Motosikal yang ditunggangnya didapati dicuri pada Mei tahun lalu. FOTO Hasbi Sidek
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


TINDAKAN berani seorang remaja membuat pusingan U dan melawan arus sebaik menyedari terdapat sekatan jalan raya di Jalan Genting Klang, dekat Setapak, Kuala Lumpur, mengundang padah apabila dia terbabit dalam kemalangan selepas merempuh kereta.

Dalam Op Motosikal yang bermula 11 malam tadi itu, pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mendapati pelajar sekolah menengah berkenaan tidak mempunyai lesen selain motosikal yang ditunggangnya dipercayai dicuri.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi berkenaan diketuai Pegawai Turus JSPT KL Deputi Superintendan Shafiee Ishak dan dibantu Unit Risikan Operasi.

“Dalam sekatan jalan raya malam tadi, pihak kami melakukan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal dan beberapa kenderaan lain secara rawak sebelum sebanyak 217 saman dikeluarkan.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan ubah suai kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan empat lelaki kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu, menunggang motosikal curi dan menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol.

“Dua penunggang remaja lelaki yang tidak mempunyai Lesen B2 yang sah ditahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Seorang remaja cuba melarikan dengan membuat pusingan U dan merempuh kereta, turut ditahan kerana didapati menunggang motosikal curi. Remaja berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Remaja itu mendakwa dari rumah rakannya di Setapak dan dalam perjalanan untuk mengambil rakannya, namun terkejut apabila menyedari terdapat sekatan jalan raya, lalu cuba melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen.

“Soal siasat lanjut dia mengaku motosikal berkenaan milik rakannya, namun nombor pendaftarannya diragui sebelum pemeriksaan nombor casis mendapati ia dilaporkan hilang pada Mei tahun lalu.

“Dalam ops ini juga kami turut menahan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an selepas ujian alkohol mendapati bacaannya mencapai tahap maksima. Malah setin minuman keras turut dijumpai di dalam bakul motosikalnya ketika ditahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 1:49 PM