Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


PERBUATAN tiga lelaki mabuk menceroboh sebuah rumah dan mengugut mahu merogol serta membunuh salah seorang mangsa mengundang padah apabila mereka ditahan di Taman Tiong 1, Kulim, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, suspek berusia antara 25 hingga 41 tahun itu pada mulanya datang ke rumah seorang kenalan, namun kenderaan dinaiki mereka terlanggar pagar rumah seorang wanita berusia 47 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, berikutan itu berlaku perang mulut dan suspek turut memaki hamun anak perempuan mangsa dengan perkataan tidak senonoh selain minum arak.

Menurutnya, seorang lagi anak lelaki mangsa yang baru pulang turut dihalau dan tidak dibenarkan meletakkan kereta di hadapan rumahnya.

“Mereka turut memaki hamun anak lelaki mangsa menyebabkan wanita terbabit kemudian menghubungi pihak polis bagi meminta bantuan.

“Suspek kemudian bertindak masuk ke dalam rumah mangsa dan mengugut mahu merogol dia dan anak perempuannya,” katanya.

Ahmad Nasir berkata, malah salah seorang suspek turut mencekak baju menantu mangsa yang berada di dalam rumah dan mengugut ingin membunuh dia dan anak lelakinya.

“Anggota polis yang tiba tidak lama kemudian berjaya menahan suspek dan membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan juga mendapati suspek berusia 29 tahun memiliki rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 12:10 PM