GAMBAR hiasan
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


SEORANG lelaki yang memandu sebuah kereta bertindak melarikan diri sehingga bergesel dengan kenderaan polis yang cuba menahannya di Bulatan Bayan Baru, Bayan Lepas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, anggota polis yang melakukan rondaan menahan sebuah Perodua Alza di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

“Pemandunya yang juga seorang lelaki tidak berhenti dan bertindak memecut kenderaan itu dengan memandu secara merbahaya ke arah Bulatan Bayan Baru.

“Sebaik tiba di Jalan Kampung Jawa, kenderaan suspek bergesel dengan van polis yang cuba menahannya sehingga kemek dan calar di bahagian sisi sebelah kiri,” katanya.


SUPERINTENDAN A A Anbalagan.

Anbalagan berkata, pihaknya berjaya menahan kenderaan suspek dan pemeriksaan menemui dua bungkusan plastik lutsinar berisi air ketum di atas alas kaki tempat duduk pemandu.

Katanya, polis juga menjumpai botol minuman yang sudah dicampur air ketum di dalam kereta suspek.

“Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 11:59 PM