MOHD Rashidi (dua kiri) melakukan pemeriksaan dalam operasi di sebuah restoran di Seksyen 9, Shah Alam, hari ini. Foto ROSLIN MAT TAHIR
Ruwaida Md Zain
cnews@nstp.com.my


RESTORAN nasi kandar antara lima premis makanan yang diarahkan tutup dalam tempoh tiga minggu pertama selepas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjalankan Operasi Mengejut Premis Makanan dalam kawasan pentadbirannya.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, premis yang diarahkan tutup serta-merta itu melakukan kesalahan sama berulang-kali iaitu membabitkan aspek kebersihan.

“Lima restoran terbabit antara lebih 70 premis dalam pertadbiran MBSA diperiksa sejak awal Januari lalu sehingga hari ini.

“Premis ini diarahkan tutup selama dua minggu untuk tujuan pembersihan dan pengusaha perlu menghubungi kami untuk membuat pemeriksaan selepas dibersihkan.

“Namun, sekiranya tahap kebersihan memuaskan, maka premis boleh kembali beroperasi semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pemeriksaan mengejut di premis makanan yang dikenal pasti gagal mematuhi syarat kebersihan ditetapkan.

Operasi berkenaan membabitkan kakitangan Jabatan Pelesenan, Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Bangunan MBSA.

Katanya, satu daripada restoran yang diarahkan tutup terletak di Seksyen 9, Shah Alam dan menjadi lokasi pertama operasi mengejut hari ini.

“Hari ini kita memeriksa dan menjalankan operasi berterusan untuk memastikan restoran dalam bandar raya ini mencapai tahap yang ditetapkan.

“Sebanyak 24 notis dan 10 kompaun dikeluarkan serta satu premis diarahkan ditutup dalam operasi yang membabitkan enam premis makanan di kawasan Seksyen 9 (Shah Alam).

“Antara kesalahan yang dikeluarkan kompaun adalah tidak menyelenggara perangkap minyak secara berkala, gagal mengemukakan bukti suntikan TY2 (anti-typhoid) serta penggunaan lorong belakang,” katanya.

Menurutnya, MBSA menguat kuasakan undang-undang kecil sedia ada iaitu Undang-Undang Kecil Establisyemen Makanan MBSA 2007, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan & Perindustrian MBSA 2007 dan Undang- Undang Kecil Pengendalian Makanan MBSA 2007.

Katanya, pihaknya turut mengingatkan pengusaha premis makanan diberikan lesen untuk mengendalikan restoran agar memastikan kebersihan premis mereka di tahap sepatutnya.

“Operasi ini dijalankan secara berkala dan berterusan. Jadi kita ingatkan kepada semua pengusaha premis makanan agar memastikan tahap kebersihan premis mereka di tahap terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 10:55 PM