Pekerja kafeteria Selera Jemari terdiri daripada golongan OKU. FOTO Siti A’isyah Sukaimi
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@nstp.com.my


ADA yang mengalami masalah fizikal dan ada juga tidak boleh bertutur serta mendengar dengan sempurna.

Bagaimanapun, ia bukan penghalang kepada lapan individu golongan orang kurang upaya (OKU) untuk berdikari mencari rezeki sebagai pekerja di kafeteria Selera Jemari di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Putrajaya.

Insan istimewa itu mula bekerja di kafeteria berkenaan sejak lima bulan lalu menerusi kerjasama Persekutuan Orang Pekak Malaysia dan KPWKM sekali gus latihan persediaan kepada mereka untuk menceburi bidang makanan dan minuman (F&B).

Bagi memudahkan pelanggan berkomunikasi dengan pekerja yang tidak boleh bertutur dan mendengar itu poster bahasa isyarat ditampal di kaunter gerai.

Koordinator Selera Jemari, Amir Adam Malik berkata, kafeteria itu beroperasi dari jam 7 pagi hingga 4 petang setiap hari bekerja dan ia mendapat sambutan pengunjung.

“Pekerja di sini berusia antara 18 hingga 26 tahun dan terdiri daripada OKU seperti cacat anggota, ada yang pekak serta berkomunikasi dengan bahasa isyarat dan ada juga yang separa pekak serta boleh bertutur.

“Kafeteria ini memulakan operasi Ogos lalu dan ia sebagai platform kepada OKU ini untuk melatih dan menimba pengalaman dalam bidang F&B antaranya cara memasak dalam kuantiti banyak, pembelian barang masakan dan sebagainya.

“Ada daripada mereka tiada pengalaman dalam bidang ini dan kita ajar mereka,” katanya hari ini.


Poster bahasa isyarat yang ditampal di kaunter gerai. FOTO Siti A’isyah Sukaimi

Pada masa sama, beliau berkata, poster bahasa isyarat yang ditampal pada kaunter gerai di kafeteria itu turut menarik minat pelanggan mempelajarinya.

“Sebelum ini, pelanggan menunjukkan menu yang hendak dibeli dan lama-kelamaan saya lihat, mereka turut mencuba bahasa isyarat ketika memesan makanan,” katanya.

Pekerja OKU, Kamaruzzaman Ismail, 22, yang mengalami masalah pendengaran berkata, dia bersyukur diberi peluang bekerja di kafeteria itu sebagai pembancuh air.

“Saya ada Sijil Kursus Masakan dari Kolej Komuniti Selayang dan apabila bekerja di sini, ia membolehkan saya mengaplikasikan apa yang dipelajari,” katanya.

Pekerja OKU, Siti Noorshafiqah Jusoh@Shaari, 26, yang mengalami masalah pendengaran menyifatkan, peluang bekerja di situ sebagai persediaan untuk menceburi perniagaan sendiri.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai guru tadika selama dua tahun di Persekutuan Orang Pekak Malaysia dan kerana minat dalam bidang F&B, saya bekerja di kafeteria ini.

“Dianggarkan lebih 200 pelanggan berkunjung ke sini setiap hari dan ia memberi pengalaman bermakna kepada saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 10:36 PM