FOTO Hiasan
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


LELAKI yang dipercayai membakar kereta Naza Bestari di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Jalan Bayam, Kota Bharu ditahan polis semalam.

Lelaki berusia 43 tahun itu diserahkan sendiri oleh abangnya yang berusia 48 tahun kepada polis di hadapan IPK Kelantan pada jam 9.45 malam.

Sumber polis berkata, lelaki yang memiliki lima rekod lampau termasuk samun dan pernah dikenakan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) itu mengaku sengaja membakar kereta berkenaan.

“Suspek mencurahkan minyak petrol yang diisi dalam tong minyak pelincir di bahagian alas kaki penumpang hadapan dan terus menyalakan api.

“Lelaki itu kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui satu pemetik api dan satu tiub straw mengandungi sebiji dan setengah pil warna merah dipercayai pil kuda.

Katanya, polis turut merampas sekotak rokok dan sehelai seluar jeans yang dipakai lelaki itu ketika kejadian.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Kita percaya suspek memasukkan dadah ke dalam badan sebelum melakukan perbuatan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian namun enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, sebuah kereta musnah dalam kebakaran di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 9:59 PM