Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my


SEORANG suspek dalam tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor ditemui mati ketika berada dalam bilik tahanan pada Ahad lalu.

Thinagaran Mathavan ditemui dalam keadaan tergantung pada jam 6.35 pagi dipercayai menggantung diri.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, satu laporan polis dibuat susulan penemuan mayat suspek dalam bilik tahanan pada hari kejadian bagi siasatan lanjut.

Katanya, suspek sebelum ini ditahan peronda Maritim Malaysia dalam pemeriksaan pada sebuah bot, 9 Januari lalu jam 7.30 pagi bersama seorang lagi lelaki ketika berada di kedudukan 1.1 batu nautika dari Sungai Belankan di perairan Tanjung Rhu, Selangor.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, peronda Maritim Malaysia menemui sebanyak 22 bungkusan disyaki mengandungi dadah jenis syabu yang di sorok di dalam tong ikan.

“Susulan itu, suspek bersama seorang lagi lelaki ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zubil berkata, Maritim Malaysia menyerahkan sepenuhnya kes kematian suspek itu kepada polis dan tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan atau ulasan berikutan tidak mahu mengganggu siasatan selain menghormati keluarga mendiang.

Sebelum ini, pada 11 Januari lalu, akhbar ini melaporkan tindakan berani dua penyeludup membawa keluar syabu seberat 23 kilogram dianggar bernilai RM3.45 juta melalui jalan laut membawa padah selepas perbuatan mereka digagalkan Maritim Malaysia.

Susulan itu, Maritim Malaysia menahan dua lelaki berusia 27 tahun dan 31 tahun dan hasil siasatan mendapati seorang daripada mereka pernah ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) membabitkan kesalahan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 7:01 PM