NUR Farhana hilang pada 14 Januari dan dijumpai semalam.
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


USTAZAH Nur Farhana Ibrahim, 27, pernah ditawarkan bertugas di sebuah sekolah rendah di Seberang Perai Utara (SPU) yang lebih dekat dengan Alor Setar, Kedah namun dia menolaknya.

Sumber di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berkata, Nur Farhana menolak tawaran itu dan hanya mahu berpindah ke Alor Setar.

Bagaimanapun, katanya, permohonan itu tidak dapat diluluskan kerana tiada kekosongan, selain perlu mengikut polisi jabatan.

Katanya, Nur Farhana baru sahaja disahkan jawatannya Mac 2018 dan mula berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Genting (SKG), Balik Pulau pada 15 Ogos 2016.

Menurutnya, ustazah berkenaan memang ada membuat permohonan pertukaran tempat mengajar dan mengepilkan laporan perubatan berkenaan masalah kesihatan dialaminya dan minta ditukarkan terus ke Alor Setar, Kedah.

“Permohonan dibuat menggunakan sistem dalam talian e-tukar untuk ditukarkan terus ke Alor Setar, namun ketika itu tiada kekosongan menyebabkan ia tidak diluluskan dan ditawarkan ke SPU.

“Pihak JPN perlu meneliti permohonan dan proses pertukaran sekolah ini juga harus diberi keutamaan kepada mereka yang memenuhi kriteria, tambahan pula dia baru diserap ke dalam perkhidmatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut sumber, SKG adalah sekolah pertama Nur Farhana bertugas dan kejadian yang berlaku amat mengejutkan pihaknya.

Katanya, JPN sentiasa prihatin dengan keperluan warga pendidiknya dan mengambil maklum masalah yang dihadapi serta bersedia menyelesaikannya.

“Berdasarkan apa yang diberitahu guru besar, Nur Farhana tidak menunjukkan kemurungan ketika berada di sekolah, malah pada sesi pembelajaran dia dilihat gembira, mudah bergaul dengan murid dan sentiasa disenangi rakan-rakannya.

“Kami masih menunggu siasatan penuh polis bagi menyiapkan laporan yang kemudian akan dihantar ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi tindakan susulan.

“Keputusan akan dibuat di KPM sebaik laporan penuh disiapkan,” katanya.

Menurutnya, JPN sentiasa prihatin dengan keadaan guru yang terpaksa mengajar jauh dari tempat tinggal, dan sentiasa bersedia membantu warga pendidik menyelesaikan masalah seumpama ini, namun ia harus mengikut proses dan polisi KPM.

Ketika ditanya mengenai apa tindakan yang akan diambil selepas kejadian itu, beliau berkata, pihaknya akan bergantung kepada laporan polis dan akan dimasukkan ke dalam laporan yang akan dihantar kepada pihak KPM bagi tindakan susulan.

“Saya tidak boleh ulas lanjut kerana ustazah berkenaan masih tertekan dan mahu memberi peluang kepadanya untuk bertenang.

“Polis juga tidak boleh membuat siasatan terburu-buru kerana dia masih tertekan dan mungkin akan menyiapkan siasatan dalam tempoh satu hingga dua hari lagi,” katanya.

Menurutnya, tindakan lanjut akan diumum Menteri Pendidikan sejurus laporan di peringkat JPN diserahkan kepadanya.

Berita berkaitan

'Tunggu laporan JPN isu guru kemurungan'

'Terima kasih rakyat Malaysia'

[UPDATE] Harap Nur Farhana ditukarkan sekolah

Ustazah Nur Farhana ditemui di luar Pulau Pinang

'Alhamdulillah, Ustazah Nur Farhana ditemui selamat'

Guna K9 cari Ustazah Nur Farhana

'Di mana Ustazah Nur Farhana?'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 3:53 PM