Ahmad Ahrazzuddin (tiga kiri) memeriksa logo halal premis restoran dalam operasi semalam. FOTO Ihsan KPDNHEP
Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menyerbu dua premis iaitu sebuah restoran dan pembekal bahan mentah kerana dipercayai menggunakan logo halal tamat tempoh di sekitar Ipoh semalam.

Serbuan bermula jam 1.30 tengah hari itu turut disertai enam agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk); Jabatan Kesihatan Negeri; Kementerian Dalam Negeri (KDN); Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) negeri.

Ketua Seksyen Penguat kuasa KPDNHEP Perak, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, operasi itu dilakukan berdasarkan arahan dikeluarkan Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya bermula 11 Januari lalu yang memberi tumpuan kepada premis yang menggunakan logo halal di sekitar negeri.

Katanya, serbuan pertama dilakukan terhadap sebuah restoran masakan India yang mempamerkan logo halal tamat tempoh.

“Hasil keterangan daripada seorang lelaki bukan Islam mendapati restoran itu memiliki Sijil Halal Malaysia dan tamat pada Disember 2017.

“Restoran itu bagaimanapun gagal memperbaharui sijil halal berkenaan berikutan tidak menepati syarat ditetapkan JAIPk.

“Berikutan itu, kita menyita tujuh unit logo halal, 20 kad nama yang mempunyai logo halal dan sekeping sijil halal premis yang tamat tempoh,” katanya hari ini.

Ahmad Ahrazzuddin berkata, dalam serbuan berasingan, pihaknya menyerbu sebuah premis pembekal makanan sejuk beku dan mendapati premis itu turut melakukan kesalahan sama.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis itu menjalankan perniagaan membungkus semula daging kambing dan mempamerkan logo halal tamat tempoh.

“Hasil semakan JAIPk mendapati logo halal itu tamat tempoh pada Mac 2010.

“Berikutan itu, kita merampas 115 kilogram plastik bungkusan yang mempunyai logo Halal Malaysia dan dua bungkusan daging kambing yang mempunyai logo sama bagi siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 16(1) Akta Perihal Dagangan 2011.

Dalam pada itu, katanya, sepanjang operasi bersepadu bermula 11 Januari hingga semalam, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 93 premis restoran termasuk restoran makanan Thailand, restoran masakan Melayu dan kopitiam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 3:18 PM