AZHAR Harun (tengah) ketika sidang media pengumuman tarikh PRK DUN Semenyih. FOTO Abd Rahim Rahmat
Azura Abas dan Irwan Shafrizan Ismail
cnews@nstp.com.my


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak berhasrat meletakkan syarat pemeriksaan kesihatan ke atas calon yang akan bertanding pada pilihan raya, tegas Pengerusinya, Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata, cadangan itu juga memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Syarat supaya calon melakukan pemeriksaan kesihatan itu memerlukan pindaan perlembagaan.

“Langkah itu tak perlu sebab perkara kematian tak boleh dijangka. Sihat pun boleh mati, jadi langkah itu tidak akan dilakukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Azhar berkata, peranan SPR sebagai penyelia, pengelola dan pihak bertanggungjawab dalam urusan pilihan raya tidak terkesan dengan kekosongan jawatan ahlinya.

Katanya, keyakinan itu berlandaskan peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

“Sebenarnya mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam Jadual Kesebelas, Perkara 33(C) iaitu apa-apa badan atau suruhanjaya yang ditubuhkan di bawah undang-undang adalah tidak terkesan daripada apa-apa kekosongan yang berlaku.

“Itu peruntukan Perlembagaan Persekutuan, bukan undang-undang biasa dan kita mengambil keputusan untuk mengikut Jadual Kesebelas, Perkara 33(C) itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, terdapat juga keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memutuskan SPR secara spesifik tidak terkesan dengan apa-apa kekosongan keahlian.

“Itu menjadi panduan kita... ia adalah terang dari segi perundangan, jadi SPR tidak terkesan,” katanya.

UMNO semalam mempertikaikan kewujudan SPR kerana hanya dikendalikan oleh seorang individu ketika ini iaitu Azhar.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, sedangkan jawatan lain iaitu Timbalan Pengerusi dan lima Ahli SPR masih kosong kerana pelantikan belum lagi dibuat sehingga kini.

SPR terdiri daripada tujuh ahli termasuk pengerusi, timbalan pengerusi dan lima ahli suruhanjaya. Pelantikan mereka diperkenankan oleh Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Dalam perkembangan lain, beliau berpuas hati dengan perjalanan serta pengurusan semua pilihan raya di bawah kendaliannya iaitu PRK Port Dickson dan Cameron Highlands yang setakat ini masih berjalan selain inisiatif baharu di bawah sekretariat SPR.

Namun begitu, beliau berkata, terdapat beberapa isu di Cameron Highlands iaitu membabitkan gambar viral pemberian wang oleh sesetengah pihak dan ia sudah dilaporkan dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya juga menzahirkan penghargaan kepada pihak dan parti politik yang menimbulkan perkara berkenaan, sekali gus mencerminkan bahawa masyarakat dilihat semakin sedar dan berminat mengenai peraturan dan undang-undang kesalahan pilihan raya.

“Ini satu kemajuan dalam proses pilihan raya kita dan saya berharap ia dapat diteruskan dalam menjamin proses pilihan raya yang adil dan saksama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 1:57 PM