ROKOK yang cuba diseludup menggunakan Perodua Kancil. (Gambar kanan) Anggota PPM menunjukkan rokok yang dirampas. FOTO ihsan PPM
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki dan merampas 1,340 bungkus rokok dianggarkan bernilai RM59,900 di Jeti Feri Kudat Banggi di Kudat, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, semua rokok itu ditemui di dalam Perodua Kancil yang dipandu suspek warga tempatan berusia 31 tahun.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, ketika anggota PPM Kudat menjalankan Op Landai Khas di lokasi kejadian, pihaknya menahan Perodua Kancil dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu menemui barang tanpa cukai iaitu rokok pelbagai jenama seperti Era Biru, Era Black Menthol, Premium Special Blend, Premium Kretek Apache sebanyak 1,340 bungkus.

“Suspek dan semua barang rampasan termasuk kereta dan telefon bimbit dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, semua rokok bernilai RM59,900 dipercayai dibawa dari Kota Kinabalu untuk pasaran di daerah ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 10:47 AM