GAMBAR hiasan
Muhammad Mustakim Ramli
m.mustakim@nstp.com.my


HANYA kerana anjing dan ayam, seorang lelaki mengamuk dengan mengacu parang kepada ibu serta adik perempuannya di Taman Kota Kenari, Kulim, Selasa lalu.

Suspek berusia 24 tahun turut mengejar jirannya dengan parang selepas lelaki itu cuba meleraikan pergaduhan antara ahli keluarga berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulim Superitendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, dalam kejadian 9.30 malam itu, suspek ditegur adiknya supaya tidak memberikan ayam kepada anjing peliharaan mereka.

“Suspek tiba-tiba mengamuk dan mengambil parang yang diletakkan di luar rumah dan mengacah ke arah ibu dan adik perempuannya.

“Jiran suspek ingin menolong untuk meredakan keadaan tetapi suspek mengejarnya dengan parang selain memaki serta mengugut untuk memukul mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, pihaknya ada pergi ke rumah suspek selepas menerima laporan, namun lelaki itu melarikan diri.

“Dia bagaimanapun ditahan dikawasan berkenaan pada jam 7 petang tadi (semalam).

“Suspek yang mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah mengaku terbabit dalam kedua-dua kejadian berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 12:09 AM