MAYAT mangsa yang maut akibat dihempap sebatang pokok di Jalan Chemumar, Simpang Ampat, Kangar, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


LELAKI maut manakala anak perempuannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka dihempap sebatang pokok yang tumbang ke tengah jalan di Kilometer 2, Jalan Chemumar, Simpang Ampat, Kangar, hari ini.

Mangsa Mohd Shahrizal Wahid, 36, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew berkata, dalam kejadian jam 3.45 petang itu mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Chemumar bersama anaknya.

“Motosikal mangsa dihempap pokok yang tumbang ke tengah jalan sehingga kedua mereka terjatuh.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati ketika kejadian cuaca berada dalam keadaan baik dan keadaan jalan juga kering,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Wari berkata, anak perempuan mangsa mengalami luka di muka, tangan dan kaki berikutan kejadian itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, (HTF) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian, manakala anak perempuannya dirawat sebagai pesakit luar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, cubaan NSTP untuk menemubual keluarga mangsa gagal berikutan mereka terlalu sedih dan enggan ditemubual.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 9:58 PM