Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@nstp.com.my


“ABANG tulang belakang keluarga dan pemergiannya amat mengejutkan, namun kami reda dengan ketentuan Ilahi.”

Begitu kata Mohd Norazli Abdul Rahman, 36, adik Azahari, 41, yang maut selepas ditimpa dahan pokok getah yang tumbang di Kilometer 10 Jalan Matang ke Telemong, jam 2.15 petang hari ini.

Mohd Norazli berkata, abangnya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara, tetapi kurang bercakap dan banyak tersenyum sejak beberapa hari lalu.

Katanya, arwah yang juga anak kedua daripada tujuh beradik dan bekerja sebagai buruh di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kampung Pelam banyak membantu keluarga.

“Sejak beberapa hari lalu abang kurang bercakap tetapi banyak tersenyum. Tak sangka pula itu adalah petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selamanya.

“Abang banyak berkorban untuk kami sekeluarga, sejak usia muda sudah mula bekerja termasuk membantu ayah, Abdul Rahman Abdullah, 64, di kebun untuk menyara kami sekeluarga terutama adik-adiknya melanjutkan pelajaran.

“Pengorbanannya pada keluarga juga membuatkan dia tidak kisah mengenai hidupnya sendiri dan belum berkahwin walaupun sudah berusia 40-an,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, ketika kejadian dia yang juga pereka dalaman sedang bekerja di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Gong Badak, Kuala Nerus, sebelum dihubungi adiknya memaklumkan kejadian.

“Abang seorang yang baik, penyayang dan sangat bertanggungjawab. Saya takkan lupa jasanya yang banyak berkorban untuk kami sekeluarga termasuk menyara saya ketika belajar di Institut Latihan Perindustrian sehingga boleh menjalankan perniagaan sendiri sekarang,” katanya.

Katanya, jenazah abangnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paloh Nyior, Hulu Terengganu, selepas solat Isyak malam ini.

Berita berkaitan

Ajal ditimpa dahan pokok getah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 9:10 PM