MANSOR Sudin. FOTO Arkib NSTP
Nurul Fhatihah Zakinan
fhatihah@nstp.com.my


URA-URA pertukaran Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah akhirnya terjawab apabila jawatan itu kini disandang bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Mansor Sudin, berkuat kuasa 1 Februari depan.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, pertukaran itu susulan penyusunan semula dan pelantikan ketua jabatan dalam pentadbiran kerajaan negeri membabitkan beberapa pegawai.

“Seperti yang disebut-sebut (pertukaran Datuk Bandar) sebelum ini, Datuk Azmi Hussain kini memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Amanah Melaka.

“Jawatan Datuk Bandar kini disandang oleh Mansor yang juga pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB),” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan terdapat ura-ura pertukaran Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah yang disandang Azmi berikutan dakwaan kelulusan 13 parkir swasta yang dibuat MBMB tanpa melalui perbincangan dengan kerajaan negeri sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew dilaporkan berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 8:32 PM