MAYAT mangsa yang dihempap dahan pokok getah di Kilometer 10 Jalan Kampung Matang ke Telemong, hari ini. Foto Ihsan PDRM
Ahmad Rabiul Zulkifli
cnews@nstp.com.my


PERJALANAN seorang lelaki ke tempat kerjanya di Kampung Pelam, Kuala Berang bertukar tragedi apabila dia ditimpa dahan pokok getah yang tumbang di Kilometer 10 Jalan Matang ke Telemong, hari ini.

Dalam kejadian 2.15 petang, mangsa Azahari Abdul Rahman, 41, dari Kampung Paloh Nyior yang bekerja sebagai buruh maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa menunggang motosikal Honda C70 dari rumah untuk ke tempat kerjanya.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi berkenaan, pokok getah yang berada di tepi jalan itu tiba-tiba tumbang lalu menimpa mangsa.

“Ketika kejadian keadaan cuaca hujan dan permukaan jalan licin.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami cedera parah pada bahagian kepala akibat dihempap dahan pokok dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Angkatan Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 7:54 PM