Nur Farhana datang bersendirian ke Balai Polis Kuala Kangsar petang tadi.
Muhammad Apendy Issahak dan Mohd Hafizee Mohd Arop
cnews@nstp.com.my

USTAZAH yang dilaporkan hilang di Balik Pulau, Pulau Pinang sejak semalam kini berada dalam keadaan selamat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar.

Ustazah Nur Farhana Ibrahim, 27, dilaporkan datang sendiri ke balai polis berkenaan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, guru berkenaan bagaimanapun masih sukar untuk mengingati apa yang berlaku sepanjang kehilangannya.

“Guru berkenaan hadir ke balai polis jam 3.15 petang tadi dan setakat ini hanya memberitahu dia bermalam di surau untuk tidur.

“Polis sudah menghubungi suami dan keluarga guru berkenaan untuk hadir ke balai bagi membawanya pulang,” katanya ketika dihubungi di Ipoh hari ini.

Razali berkata, pihaknya juga sudah memaklumkan mengenai penemuan guru terbabit kepada pihak polis di Balik Pulau.

Semalam media melaporkan ustazah yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau itu dikhuatiri hilang selepas tidak hadir mengajar sedangkan keretanya berada di luar kawasan sekolah.

Kehilangan Nur Farhana disedari suaminya selepas dia tidak pulang ke rumah mereka di Langgar, Kedah, petang kelmarin.

Berita berkaitan

'Alhamdulillah, Ustazah Nur Farhana ditemui selamat'

'Di mana Ustazah Nur Farhana?'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 7:49 PM