LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dilaporkan akan membayar sejumlah pampasan kepada 25 imam yang dipecat pada awal bulan ini.

Bagaimanapun, pembayaran itu terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat segelintir imam yang masih berdegil dan tidak mahu memberikan kerjasama kepada JAIPs.

Menurut sumber, sebahagian mereka berdegil kerana berpendirian bahawa tindakan berdemonstrasi di masjid adalah sebahagian daripada hak mereka.

“Kalau diikutkan tidak semua imam memberontak kepada JAIPs kerana mereka faham ini adalah isu khilaf dalam fekah agama.

“Cuma ia menjadi isu apabila terdapat sebilangan kecil imam yang menggunakan platform politik dalam menegakkan hak mereka,” katanya ketika ditemui di Kangar.

Polemik pelantikan imam di Perlis bermula selepas 25 imam kariah sekitar negeri ini dipecat, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat.

Surat yang dikeluarkan JAIPs bertarikh 31 Disember 2018 itu dilihat dibuat secara tergesa-gesa kerana tiada rekod rujukan pada bahagian atas surat ditulis, selain notis yang dikeluarkan itu dianggap terlalu singkat sehingga mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka.

Dalam pada itu, sumber terbabit berkata, beliau enggan menyatakan jumlah pampasan yang diberikan JAIPs kerana khuatir akan dipolemikkan semula oleh pihak tertentu.

“Ada imam yang dipecat mengakui mereka mengamalkan qunut pada solat Subuh tetapi ia hanya dilakukan ketika di rumah bukan ketika bertugas.

“Cuma ada sebahagian kecil mereka ini dilihat terlalu keras dalam isu khilafiyah sehingga sanggup berdemonstrasi dalam masjid,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAIPs Dr Hazman Hassan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut kerana khuatir kenyataan yang dikeluarkannya akan disalahertikan.

Berita berkaitan

'Terima dengan hati terbuka' - Raja Muda Perlis

[UPDATE] Keputusan sudah muktamad - Mufti Perlis

Mufti Perlis, Pengarah JAIPs didesak letak jawatan

[UPDATE] Dipecat kerana masalah disiplin, faktor usia

'Surat lain yang sampai...'

[UPDATE] Mufti jawab dalam kuliah malam ini...

'Hanya istana boleh lakukan' - Mufti Perlis

Perlis pecat 25 imam

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 5:03 PM