(Gambar fail) Antara pemeriksaan yang dijalankan ke atas restoran-restoran mamak palsu di sekitar Kuala Lumpur baru-barui ini.
Suzalina Halid
suzalina@nstp.com.my

DUA restoran nasi kandar di Alor Setar dikenakan tindakan berikutan bukan sahaja disyaki mengambil keuntungan tinggi namun turut mengelirukan pelanggan dengan menggantung ayat al-Quran meskipun pemiliknya bukan beragama Islam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Chin Ching Chung berkata, tindakan itu dibuat terhadap kedua-dua restoran terbabit berdasarkan aduan orang ramai berikutan mengenakan caj sehingga RM8.50 bagi sepinggan nasi goreng ayam.

Mengulas lanjut beliau berkata, kedua-dua restoran itu turut diberi amaran dan diarah menurunkan ayat al-Quran yang digantung di restoran mereka berikutan mengelirukan pelanggan sedangkan pemiliknya tidak mempunyai pengetahuan asas langsung mengenai agama Islam ketika disoal siasat.

“Kedua-dua restoran itu kita ambil tindakan kelmarin melalui operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dan Jabatan Kesihatan negeri, bermula Isnin lalu hingga 31 Januari ini.

“Rentetan itu, kita mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana mengambil keuntungan tinggi tidak munasabah dan diminta memberi maklum balas dalam tempoh 10 hari.

“Bagi kesalahan meletakkan ayat al-Quran pula, anggota penguatkuasa JAIK meminta pemiliknya menurunkan semua ayat itu kerana ia boleh mengelirukan pelanggan beragama Islam, ” katanya kepada NSTP, di Alor Setar.

Terdahulu, Chin menghadiri Seminar Keselamatan Data Peribadi dan Kewangan yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Pada masa sama, katanya, secara keseluruhan sebanyak 44 buah restoran diperiksa sejak Isnin lalu melalui operasi bersepadu itu.

Sementara itu, melalui operasi pemeriksaan di kantin sekolah pula, sebanyak 25 buah kantin sekolah sudah diperiksa sejak Ahad lalu membabitkan daerah Kulim dan Langkawi (lima); Sungai Petani (lapan); Baling (tiga); Kubang Pasu serta Alor Setar (dua).

Katanya, melalui operasi itu, tiada pengusaha kantin sekolah yang diambil tindakan berikutan mereka mengikut peraturan ditetapkan seperti meletakkan tanda harga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 3:41 PM