Siraj Mohd Zaini
siraj@nstp.com.my


SEBUAH syarikat logistik dan seorang ejen penghantaran bebas didakwa di Mahkamah Majistret Klang, hari ini atas tuduhan menyeludup masuk 10.1 juta batang rokok bernilai RM814,400, awal bulan lalu.

Tertuduh, Chia Mong Seng, 35, dan syarikat Orbit Link Logistic (M) Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya Datuk Alias Nordin, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa dengan niat bersama-sama mengimport barangan yang dilarang pengimportannya iaitu 200,000 batang rokok jenama John D-Blend, 7.79 juta batang rokok Canyon merah dan 2.19 juta rokok Canyon hijau mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Nilai semua rokok seludup berkenaan ditaksirkan berjumlah RM814,400.

Kesalahan itu dilakukan di lapangan pemeriksaan kontena penguatkuasaan CT1, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 12.45 tengah hari, 4 Januari lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang iaitu RM8.14 juta dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang iaitu RM16.2 juta atau penjara tidak kurang enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Mohamad Syafiq Abdul Aziz, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yung Azwaire Mohammad Dahlan.

Terdahulu, Mohamad Syafiq menawarkan jaminan RM100,000 bagi kedua-dua tertuduh, namun Yung Azwaire memohon jaminan itu dikurangkan dengan alasan kedua-dua anak guamnya hanya terbabit sebagai agensi penghantaran dan mempunyai pendapatan yang sederhana.

Katanya, mereka juga terpaksa meminjam wang untuk membayar ikat jamin berkenaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 bersama seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan sebutan semula kes pada 22 Februari depan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan JKDM berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk jutaan batang rokok putih dan ‘chewing tobacco’ bernilai lebih RM8 juta termasuk cukai.

Difahamkan, lesen syarikat Orbit Link juga digantung serta-merta pada 14 Januari lalu atas arahan Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri T Subromaniam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 2:54 PM
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah seludup rokok. FOTO Intan Elliana Zakaria