Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my


TINDAKAN seorang buruh memukul isterinya November lalu mendapat pembalasan apabila dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka, hari ini.

Majistret Mohd Nazrin Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap S Sathiya, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan tangan pada kepala, termasuk menarik rambut bekas isterinya, N Siva Sangari, 33, di rumah pangsa Sri Siantan, pada 21 November lalu, 9 malam.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda RM2,000, atau kedua-duanya.


S. SATHIYA (tengah) diiringi anggota polis keluar dari mahkamah. FOTO Rasul Azli Samad

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu hukuman penjara diringankan dengan alasan mempunyai tanggungan bayi berusia enam bulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Intan Liyana Zainal Abidin mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh dengan mengambil kira faktor kecederaan dialami mangsa.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan bermula dari tarikh ditangkap, 29 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 2:27 PM