SEBAHAGIAN daripada 17 tertuduh yang hadir pada prosiding sebutan semula kes merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


MAHKAMAH Majistret Petaling Jaya mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang tertuduh, Muhammad Qayyum Mohd Faisal kerana gagal hadir pada prosiding sebutan semula kes merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, November tahun lalu.

Waran tangkap itu dikeluarkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas mahkamah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh untuk tertuduh berusia 20 tahun itu hadir ke mahkamah.

Dalam prosiding sama, seramai 17 lagi lelaki, termasuk pegawai keselamatan One City Developmet Sdn Bhd (One City), Irwan Nordin, 38, hadir ke mahkamah dalam sebutan semula kes itu.

Tertuduh yang lain adalah Mohd Ashraf Mohd Faisal; Absal Evastrie Abdullah; Muhamed Jalil Talib; Muhammad Khairol Anuar Zabidi; Muhd Zamri Md Said; Shukri Razali; Afizal Sabtu; Nor Azmi Abdul Ghani; Muhammad Ridzuan Sekh Ruslan; Mohd Khairi Abd Rashid; Rozaihan Jamaludin; Mohammad Shahril Danniel Sajel; Mohammad Saifullah Abdullah; Muhammad Hasneezam Shah Samsudin; Akmal Izzat Aziz dan Mohd Norul Ismawi Islahuddin.

Mengikut pertuduhan, kesemuanya yang berusia 20 hingga 38 tahun didakwa didapati berada dalam rusuhan dan semasa rusuhan itu, kesemuanya memiliki parang, kapak, pisau dan kayu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kuil berkenaan, di USJ 25, Seafield, Subang Jaya antara 2 pagi dan 5 pagi, 26 November lalu.

Dakwaan kes terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 6 Mac depan bagi sebutan semula 17 tertuduh berkenaan.

Dalam prosiding itu, kesemua tertuduh diwakili peguam bela Ahmad Faiq Azizan, Mohd Hezri Shaharil dan Azlan Roni.

Dalam kejadian awal pagi 26 November itu, 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin pusat beli-belah One City turut dipecah dan dirosakkan.

Akibat kejadian itu, anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dipukul dalam rusuhan itu disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) jam 9.41 malam, 17 Disember 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 1:19 PM