Ibrahim Isa
cnews@nstp.com.my

Johor Bahru: Hasil risikan empat jam membolehkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 membongkar penipuan peniaga kedai borong yang menjual minuman keras seludup dalam lori di parkir di kawasan berhampiran premis mereka di Taman Nusa Bestari, jam 9 malam kelmarin.

Pada masa sama, peniaga terbabit turut memiliki lesen menjual minuman keras dan menjualnya secara sah di premis mereka.

Komander PPM Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, pemeriksaan dalam lori itu membawa kepada penemuan 129 kotak minuman keras pelbagai jenama bernilai RM374,840 dan ia hanya dijual kepada pelanggan yang dilihat tidak mencurigakan.

“Kami tidak menolak kemungkinan ia dijual sempena Tahun Baru Cina. Taktik peniaga mudah, pamerkan minuman keras berjenama di premis namun apabila ada pelanggan bertanya arak jenama sama dengan harga lebih murah, mereka akan mengambil minuman seludup disimpan dalam lori.


MOHD Yusoff (tengah) menunjukkan botol minuman keras yang dirampas, semalam. FOTO Zain Ahmed

“Hasil risikan, kami mengenal pasti dua lelaki yang juga peniaga berusia 20-an hingga 30-an, kami tahu identiti dan menunggu masa untuk memberkas mereka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan Kastam Diraja Malaysia (KDRM),” katanya di Markas PPM Wilayah 2 di sini, semalam.

Mohd Yusoff berkata, sepanjang 2018, PPM Wilayah 2 melakukan 31 serbuan membabitkan 12 tangkapan dengan anggaran nilai rampasan RM8.5 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, 20 kes membabitkan rampasan rokok, 10 tangkapan selain 802,957 kotak rokok bernilai lebih RM8 juta dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 9:48 AM