Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my

Cameron Highlands: Kempen tinjauan mesra calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands Wong Seng Yee, 40, semalam ‘diwarnai’ situasi salah faham antara pengundi sehingga hampir mencetuskan perang mulut.

Situasi itu berlaku di sebuah kawasan medan selera di Tanah Rata ketika Wong memulakan kempen pilihan rayanya bertemu beberapa kumpulan pengundi yang sedang menikmati sarapan.

Ketika tiba di meja sekumpulan empat lelaki di sebuah gerai, calon Bebas itu meluangkan lebih masa memperkenalkan diri dan menerangkan manifestonya.

Tindakannya itu tiba-tiba ditegur seorang lelaki lain di meja bersebelahan yang memberitahu calon Bebas itu sepatutnya memberi penerangan kepada pengundi dan bukannya orang luar yang bersarapan di situ.

Wong yang kelihatan terkejut kemudian meminta maaf sebelum beralih memberi penerangan kepada lelaki yang menegurnya itu.

Selepas beberapa ketika, seorang daripada empat lelaki berkenaan menegur tindakan lelaki tadi dan berkata, dia adalah pengundi di kawasan berkenaan sehingga akhirnya hampir berlaku perang mulut antara kedua-dua mereka.

Bagaimanapun, tindakan pantas salah seorang pembantu Wong yang mencelah dengan berkata, penduduk Cameron Highlands semuanya baik-baik berjaya mengelak keadaan menjadi lebih buruk.


WONG (kiri) beramah mesra dengan pengundi ketika berkempen di sekitar Tanah Rata. FOTO Abdullah Yusof

Tanpa berlengah, calon Bebas itu kemudian secara baik meminta diri dan beredar menemui pengundi di gerai lain.

Mujur jugalah, semalam Wong yang kali pertama bertanding dalam pilihan raya membawa pembantu yang nampaknya bijak mengawal suasana.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana jika dia keseorangan untuk mengawal keadaan itu yang mungkin menjadi lebih buruk sekiranya berlarutan.

Mungkin jika perang mulut sesama pengundi itu berlaku, media sosial sudah dipenuhi dengan penularan video seperti yang menimpa calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran yang ‘disekolahkan’ seorang pengundi warga emas ketika sedang berkempen.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 9:38 AM