BERNAMA

POLIS menumpaskan geng curi motosikal selepas menahan empat lelaki termasuk dua remaja dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Bukit Mertajam hari ini.

Dalam serbuan itu polis turut merampas pelbagai motosikal serta komponennya yang sudah dileraikan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu empat rumah bermula jam 2 pagi sebelum menahan empat lelaki berusia antara 16 dan 27 tahun.

“Susulan penahanan mereka polis merampas lima motosikal pelbagai jenis yang dipercayai dicuri geng itu serta pelbagai komponen motosikal yang dileraikan mereka,” katanya hari ini.

Beliau berkata, modus operandi geng itu ialah mencuri motosikal di kawasan pusat membeli belah sebelum menjual atau meleraikan komponennya untuk dijual kepada mat rempit pada harga murah.

“Empat lelaki termasuk dua remaja yang sudah tidak bersekolah itu direman lima hari bagi membantu siasatan.

“Mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan itu sejak tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 8:25 PM