Rosli (kanan) dan isterinya Minah (dua dari kanan) bersama peserta rombongan ketika umrah di Makkah, baru-baru ini. FOTO Nazri Abu Bakar.
Nazri Abu Bakar
cnews@nstp.com.my


KEMURAHAN hati seorang ibu tunggal menaja suami isteri penjual nasi lemak mengerjakan umrah, mengundang sebak pasangan itu yang terharu dengan rezeki diterima mereka.

Kedua-duanya yang tinggal di Taman Paya Rumput Indah, Melaka baru saja pulang daripada mengerjakan umrah, menerima satu lagi kejutan daripada insan sama untuk menunaikan haji pada Ogos depan.

Rosli Abd Samad, 63, berkata, dia dan isterinya, Minah Lemat, 58, menangis kegembiraan serta melakukan sujud syukur selepas dimaklumkan mengenai tajaan berkenaan.

Katanya, hanya Allah SWT yang dapat membalas jasa insan budiman yang juga seorang ahli perniagaan berusia 46 tahun itu.

“Ketika mengerjakan umrah, baru-baru ini, kami dibekalkan wang belanja RM4,000 oleh beliau dan kini diberi peluang untuk menunaikan haji pula. Ia pastinya sesuatu yang indah buat kami berdua dan anak-anak juga.

“Maklumlah anak-anak hanya bekerja biasa dan ada tanggungan sendiri. Jadi, saya dan isteri tidak bergantung kepada mereka untuk menunaikan impian kami menjejakkan kaki ke rumah Allah.

“Alhamdulillah, ada insan yang bermurah hati menawarkan peluang ini ketika kami bertungkus lumus menyimpan wang untuk ke Makkah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Rosli berkata, dia sudah lebih 26 tahun berniaga nasi lemak dan mengakui berhadapan kesulitan membesarkan anaknya disebabkan kekangan kewangan.

“Tetapi Allah SWT lebih mengetahui. Sesungguhnya, rezeki, jodoh dan ajal adalah ketentuan-Nya yang tidak kita tahu,” katanya yang sebelum ini pernah bekerja kilang dan menjadi pencuci bangunan.

Suami isteri itu yang kini mengikuti kursus haji di Selayang, Kuala Lumpur sejak beberapa minggu lalu, turut mendoakan kesejahteraan dan keselamatan ihsan berhati mulia terbabit yang enggan namanya didedahkan.

Bercerita lanjut, Rosli memberitahu tidak mengenali dermawan berkenaan dan menganggap semuanya aturan Allah SWT yang membukakan hati wanita itu untuk menaja dia dan isteri.

Tiada amalan khusus dibuat suami isteri itu, namun mereka kerap membantu penduduk setempat yang memerlukan termasuk membersihkan kubur, taman perumahan kampung dan terbabit aktiviti kejiranan dan masyarakat.

Dia juga sering bersedekah terutama menghantar nasi lemak dan kuih muih di masjid dan surau setiap kali majlis keagamaan selain menyediakan hidangan untuk pusat tahfiz dan anak yatim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 6:01 PM