FARID Kamil ketika hadir di Mahkamah Petaling Jaya. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, bahawa beliau mengingati wajah Datuk Farid Kamil Zahari berikutan tindakan berani pelakon itu yang menampar anggota polis trafik di Balai Polis Trafik Kota Damansara, pada 11 Januari 2018.

Malah, Wong Kok Keong, 36, yang juga saksi pendakwaan ke-4 itu berkata, insiden itu adalah pertama kali dilihat sepanjang hidupnya, membabitkan orang awam menampar anggota polis.

Wong berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran, sama ada saksi itu mengenali dan mengingati pelakon utama Lagenda Budak Setan itu.

Terdahulu, pemilik perniagaan perkhidmatan pengebumian itu berkata, beliau ke balai polis trafik berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari pada 11 Januari tahun lalu untuk memeriksa saman sebelum dua lelaki (Ashraf Ahmad dan Farid) masuk ke dalam balai polis sama.

Menurutnya, ketika itu, beliau terdengar kedua-dua lelaki terbabit bergaduh sebelum Farid bertindak menampar Ashraf dengan kuat dan kemudian melakukan perbuatan sama terhadap anggota polis trafik di kaunter pertanyaan.

“Kemudian, saya melihat anggota polis itu pula ditampar Farid kerana mahu menenangkan kedua-dua lelaki berkenaan.

“Ketika itu, saya melihat Farid terjerit-jerit seperti orang gila dan dalam masa sama keadaannya seperti tidak tidak betul,” katanya.

Ketika disoal Alia lanjut mengenai bahagian muka kedua-dua mangsa yang ditampar Farid, beliau bagaimanapun tidak dapat mengingatinya.

Dalam keterangan di mahkamah sebelum ini, Ashraf, 35, yang juga saksi pertama pendakwaan membawa Farid dengan tidak berbaju yang ditemui di tepi Jalan Tropicana, Damansara, ke balai polis itu untuk membuat laporan selepas Farid mendakwa dirinya terbabit dalam kemalangan.

Sementara itu, dalam sesi pemeriksaan balas peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid, Wong berkata, beliau berada di balai polis trafik itu pada hari kejadian untuk memeriksa saman kenderaan yang dimilikinya, namun kerana kejadian itu beliau tidak sempat untuk melakukan urusan berkenaan.

Selain itu, ketika menjawab soal balas oleh peguam mengenai situasi ketika kejadian, beliau memberitahu ada beberapa butiran yang dapat diingat dengan jelas namun selebihnya tidak dapat diingat kembali.

“Kejadian itu sudah berlaku setahun yang lalu... Saya menjawab apa yang saya ingat, yang saya tak ingat saya tidak jawab,” katanya.

Pada 16 Januari tahun lalu, Farid, 37, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan, iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira jam 1.20 petang, 11 Januari 2018.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 5:58 PM