Hafizu dipenjara 13 tahun kerana sebabkan kematian. FOTO Fathil Asri.
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


BURUH ladang menangis teresak-esak selepas dihukum penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini terhadap tuduhan menyebabkan kematian jirannya, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Hafizu Md Hanafi, 37, mengaku salah terhadap tuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada 13 November 2016.

Sebaik hukuman diputuskan, tertuduh dilihat berpelukan dengan ibu dan abangnya yang turut hadir di mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Hafizu didakwa menyebabkan kematian Rojali Muslim, 30, di tepi Jalan Aring 8-Kuala Berang di Gua Musang pada 4 pagi, 11 November 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, hasil bedah siasat dijalankan mengesahkan kematian mangsa berpunca daripada tempurung kepala retak dan pendarahan otak akibat pukulan benda tumpul dan keras.

Terdahulu, peguam Alias Ibrahim dalam rayuan memohon hukuman penjara minimum terhadap anak guamnya yang kesal dan memohon maaf kepada keluarga mangsa.

“Kemarahan itu wujud akibat rasa tanggungjawab seorang abang terhadap adik iparnya yang disyaki berada bersama mangsa.

“Tertuduh juga mempunyai lima anak berusia tujuh hingga 15 tahun yang kini disara abangnya, selain berdepan proses perceraian dengan isteri,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali memohon hukuman berat terhadap tertuduh mengambil kira kesalahan serius yang menyebabkan satu nyawa melayang.

“Dalam kes ini, saya memohon mahkamah melihat sebab berlaku kejadian ini adalah perselisihan faham antara tertuduh dan si mati yang boleh diselesaikan melalui perbincangan,” katanya.

Akhbar NSTP sebelum ini melaporkan seorang penjaga barang binaan, Rojali Muslim, 29, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Aring 1, Gua Musang, dipercayai akibat dipukul.

Menurut polis, kejadian dipercayai berlaku akibat salah faham kerana disangka melarikan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 5:23 PM