Foo Swee Hor, 57, dibawa keluar selepas mengaku miliki rokok seludup. FOTO Hanneeyzah Bariah Baharin.
Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@nstp.com.my

SEORANG peniaga runcit didenda RM200,000 di Mahkamah Majistret Marang, hari ini selepas mengaku salah memiliki rokok seludup.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda turut menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh, Foo Swee Hor, 57, sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Mengikut pertuduhan, Foo didakwa memiliki barang Larangan Kastam bernilai keseluruhan RM9,095 yang disorokkan di premisnya di Perkedaian Taman Bestari, Wakaf Tapai, Marang, pada jam 2.30 petang, 11 November 2018.

Kesalahan itu dilakukannya buat kali kedua dan didakwa mengikut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(bb) akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada 20 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih daripada 40 kali ganda nilai barangan atau boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah turut mengarahkan semua barang kes dilucut hak kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk dilupuskan selepas tamat tempoh rayuan.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, premis tertuduh diserbu dan pemeriksaan lanjut menemui sebuah rumah yang dijadikan stor dengan di dalamnya terdapat sejumlah kotak mengandungi rokok dipercayai belum dilulus Kastam bernilai RM9,095.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 5:05 PM