ZAINUL dalam sidang media di SPRM Perak. FOTO NSTP
Shamsul Kamal Amarudin
shaka@nstp.com.my


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga kini sudah mengambil keterangan tujuh saksi berhubung isu pengagihan ‘duit minyak’ kepada penunggang motosikal masyarakat Orang Asli pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Difahamkan, wanita yang gambarnya tular dalam media sosial sedang mengagihkan wang itu adalah antara tujuh orang saksi yang dipanggil untuk dirakam percakapannya di bilik operasi SPRM di tanah tinggi itu.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, sehingga kini pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada wujud kesalahan berkaitan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atau Akta SPRM 2009.

“Oleh itu, kami meminta orang ramai atau sesiapa sahaja agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini.

“Kami mengesahkan menerima aduan berhubung perkara ini dan siasatan dilakukan seperti biasa mulai Ahad lalu,” katanya pada sidang media di pejabat SPRM Perak di Ipoh, hari ini.

Sebelum ini, tular gambar seorang wanita memakai baju Pakatan Harapan (PH) yang kelihatan seperti memberikan wang kepada golongan pemuda Orang Asli.

Berikutan penularan gambar itu, Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet menjelaskan wang itu adalah pembayaran balik untuk menampung kos petrol kepada sukarelawan PH yang datang dengan motosikal sendiri dari rumah mereka di kawasan pedalaman ke Tanah Rata pada hari penamaan calon PRK Parlimen Cameron Highlands, Sabtu lalu.

Beliau dilaporkan berkata, pembayaran balik itu akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pilihan raya.

Zainul berkata, semua tujuh orang yang dipanggil memberi keterangan sebagai saksi adalah mereka yang gambar mereka tular dalam media sosial itu.

Beliau juga mengesahkan sehingga kini pusat operasi SPRM di Cameron Highlands sudah menerima lima aduan daripada orang ramai dan parti politik berhubung pelbagai perkara.

“Selain aduan berkaitan gambar yang tular itu, saya sendiri tidak pasti aduan yang lain tetapi ini adalah perkara biasa dalam pilihan raya kerana orang ramai boleh mengemukakan apa sahaja aduan yang difikirkannya sesuai,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 4:44 PM