Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


SYARIKAT penerbangan Malindo Air mengesahkan seorang kru kabin mereka ditahan Polis Persekutuan Australia (AFP) kerana menyeludup dadah bernilai RM86.35 juta (AS$21 juta) digantung serta-merta sementara menunggu dibuang kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Airways Sdn Bhd, Chandran Rama Muthy berkata, pihaknya mengesahkan mengenai penahanan kru kabin syarikatnya di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne, Australia pada 7 Januari lalu.

“Sehingga kini, tiada pengesahan rasmi mengenai penahanan berkenaan sama ada menerusi kakitangan kami atau AFP.

“Bagaimanapun, kami sudah mengemukakan perkara itu (pengesahan) dengan pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne sebaik mengetahui penahanan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Chandran berkata, pihaknya mengetahui penahanan kru kabin berkenaan melalui laporan media yang didakwa menjadi sebahagian anggota sindiket dadah antarabangsa yang menggunakan kru kabin syarikat penerbangan untuk menyeludup dadah ke Australia.

“Malindo Air menerusi pelbagai laporan media juga dimaklumkan kru kabin syarikat penerbangan antarabangsa lain turut ditahan atas tuduhan sama beberapa bulan lalu.

“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak berkuasa yang relevan sama ada di Australia atau Malaysia berhubung perkara ini,” katanya.

Menurutnya, kru kabin itu juga digantung serta-merta sementara menunggu ditamatkan perkhidmatan.

“Sebagai syarikat penyedia pengangkutan udara antarabangsa, kami tidak mengizinkan sebarang tindakan yang bersifat jenayah atau salah laku oleh kakitangan kami.

“Semua kru kabin dilatih sebaiknya untuk mematuhi standard operasi piawaian yang ketat, berdasarkan penemuan siasatan dalaman juga kami yakin penahanan ini insiden terpencil yang timbul daripada salah laku anak kapal,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, baki kru dalam penerbangan yang dikatakan itu tidak ditahan.

“Walaupun baru beroperasi selama enam tahun sebagai syarikat penerbangan, kami ingin mengulangi komitmen untuk terus mengambil langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan penerbangan dan penumpang sepanjang masa.

“Malindo Air juga mematuhi semua standard kawal selia antarabangsa yang sedia ada dan berbangga dengan rekod pencapaian dalam memenuhi undang-undang ketat pihak berkuasa antarabangsa serta Australia sejak memulakan operasi November 2015,” katanya.

Chandran berkata, pihaknya akan bekerjasama lebih dekat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan semua kru penerbangan bertindak secara profesional dan mematuhi undang-undang antarabangsa yang sedia ada.

Sebelum ini, ABC News melaporkan, AFP dan Polis Victoria menahan lapan individu dalam tempoh 10 hari kerana disyaki menyeludup heroin, methamphetamine dan kokain ke negara itu.

Komander Tess Walsh dari Polis Victoria berkata, tangkapan itu adalah sebahagian daripada Operasi Sunrise yang membabitkan AFP, Angkatan Sempadan Australia dan Suruhanjaya Perisikan Jenayah Australia.

Pasukan siasatan bersama itu mendapati, sindiket berkenaan menggunakan kru kabin Malindo Air dan syarikat penerbangan lain untuk membawa dadah ke Australia.

Walsh melaporkan dua daripada suspek adalah kru kabin Malindo Air.

Berita berkaitan

Kru Malindo Air ditangkap seludup dadah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 4:40 PM