Keadaan kereta mangsa selepas cermin penumpang hadapan dipecahkan. FOTO PDRM
Adnan Ibrahim
cnews@nstp.com.my


WANITA berusia 36 tahun yang meninggalkan kereta Toyota Estima miliknya di tepi jalan di Kluang bukan saja mengalami kerugian RM5,000 apabila tingkap keretanya dipecahkan malah beg sekolah anaknya turut dilarikan, dalam kejadian jam 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, berdasarkan laporan mangsa, kenderaannya diletakkan di Jalan Haji Abu Aziz Awab jam 8 malam sebelum pergi ke kedai gunting berhampiran.

Katanya, apabila kembali semula ke keretanya jam 11 malam, pengadu mendapati cermin penumpang hadapan dipecahkan dan barang di dalam kenderaan itu bersepah.

“Hasil pemeriksaan pengadu mendapati kad ATM, buku bank, smart tag dan beg sekolah anaknya hilang sebelum bank mendapati RM5,000 berjaya dikeluarkan suspek.

“Berikutan itu siasatan dijalankan dengan mendapatkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) di bank berkenaan bagi mengenal pasti suspek,” katanya hari ini.

Mohd Abduh berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 4:08 PM