LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai enam ahli Parlimen yang sudah keluar parti memohon untuk kembali semula sebagai ahli UMNO.
Ifwan Tun Tuah
ifwan@nstp.com.my


TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan tidak menerima sebarang permohonan daripada bekas Ahli Parlimen parti itu yang mengumumkan keluar parti untuk kembali semula kepada UMNO.

Mohamad yang menjalankan tugas Presiden berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagaimanapun sedia menerima jika mereka berhasrat mahu menyertai UMNO semula.

“Setakat ini, saya secara peribadi belum dan tidak ada menerima apa-apa permohonan daripada mana-mana Ahli Parlimen UMNO yang sudah keluar parti untuk menyertai semula UMNO.

“UMNO sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang ingin menyertai dan menjadi ahli UMNO.

“Syarat dan proses untuk menjadi ahli adalah tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan dan peraturan pentadbiran parti,” katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, enam ahli Parlimen BN yang mengumumkan keluar UMNO pada bulan lalu dijangka memohon kembali sebagai ahli parti itu.

Difahamkan, keenam-enam ahli Parlimen itu mahu kembali semula kepada UMNO kerana menerima tekanan undang-undang berikutan tindakan saman terhadap mereka dibuat akhir bulan lalu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 3:23 PM