Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my


POLIS menahan lelaki, Sabtu lalu, selepas disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan membabitkan mangsa wanita warga Indonesia, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan di tepi jalan dekat Taman Muhibbah Saleng di Kulai, pada 1.30 pagi.

Beliau berkata, hasil dokumentasi awal, suspek mengaku terbabit dengan kes pecah masuk rumah mangsa berkenaan.

“Bertindak atas maklumat mangsa, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kulai menahan suspek yang kemudiannya mengaku terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati dia positif methamphetamine dan kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 448/509 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beng Yeow berkata, dalam kejadian 9 Januari lalu, mangsa membuat laporan polis mendakwa rumahnya di rumah pangsa dekat Jalan Lengkongan di Kulai, diceroboh.

“Ketika kejadian, mangsa sedang tidur dan tersedar apabila mendengar bunyi seperti orang menyelongkar barang. Apabila diperiksa, mangsa mendapati suspek yang tidak dikenali itu berada dalam keadaan tidak berbaju di biliknya sedang menyelongkar barang.

“Suspek mengarahkan mangsa diam dan mengugut akan dipukul sekiranya menjerit,” katanya.

Menurut beliau, mangsa mendakwa suspek tiba-tiba mengeluarkan kemaluannya dan menunjukkannya kepada mangsa.

Katanya, mangsa yang terkejut terus menyuruh suspek keluar dan suspek keluar melarikan diri melalui siling di bahagian ruang tamu rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 1:38 PM