MUSA. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bharian.com.my


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen yang membenarkan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mendapatkan pasport beliau bagi menjalani rawatan susulan di Singapura dan United Kingdom.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam keputusannya, membenarkan permohonan semakan pihak pendakwaan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, pada 7 Januari lalu.

Mohamed Zaini dalam penghakimannya berkata, tidak dapat dinafikan bahawa Musa mengalami masalah kesihatan yang berkaitan dengan jantung dan isu yang perlu diputuskan adalah sama ada beliau diberikan kebenaran untuk mendapatkan rawatan lanjut di luar negara.

Mohamed Zaini berkata, tidak ada sebarang cadangan daripada tertuduh bahawa beliau hanya boleh dirawat di Singapura dan United Kingdom.

Hakim itu berkata, beban pembuktian terletak pada Musa bagi menunjukkan beliau perlu mendapatkan rawatan khusus yang tidak boleh didapati dalam negara.

“Pada pandangan saya, tertuduh hanya memohon mendapatkan rawatan oleh doktor pilihannya. Anggapannya ialah beliau boleh dirawat di negara ini dan penyakit dialaminya boleh dirawat oleh doktor di negara ini.

“Malah, surat-menyurat dalam afidavitnya turut memberikan kesimpulan yang sama.

“Secara faktanya, pasport tertuduh diarahkan untuk diserahkan ketika dibenarkan ikat jamin, yang menunjukkan beliau ada risiko melarikan diri. Oleh itu, ada keperluan untuk menyekat pergerakannya ke luar negara.

Mohamed Zaini berkata, perlu ada alasan yang mendesak, sebelum tertuduh boleh dibenarkan pergi ke luar negara.

Hakim itu berkata, beliau mendapati tiada alasan berkenaan dalam kes terbabit.

Katanya, mahkamah berpendapat Hakim Mahkamah Sesyen gagal sepenuhnya menghargai fakta yang dikemukakan.

“Oleh itu, saya berpuas hati bahawa perintah yang dibuat (oleh mahkamah sesyen) adalah tidak betul.

“Saya dengan ini mengetepikan perintah mahkamah (yang membenarkan tertuduh mendapatkan pasportnya sementara) ..Syarat jaminan dikekalkan,” katanya.

Pada 5 November tahun lalu, Musa mengaku tidak bersalah atas 35 tuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah berjumlah AS$63,293,924 (RM263,460,962.313).

Musa didakwa memperoleh rasuah daripada lapan pemilik syarikat konsesi balak dan dituduh melakukan kesalahan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong serta Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum bawah Seksyen 16 akta sama.

Ia membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang, atau denda RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, Musa diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dan Ridha Abdah Subri manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Salim Shoib mewakili pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 12:50 PM