GAMBAR hiasan
Erika George
cnews@nstp.com.my

PELAJAR tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu tercampak kira-kira tiga meter selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda di Batu 16 Jalan Bintulu-Miri dekat Bintulu.

Kejadian berlaku pada 4.45 petang semalam, ketika Jacklyn Sunggau Micheal, 13, berasal dari Rumah Panjang Mutu sedang melintas jalan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, akibat rempuhan, mangsa maut di tempat kejadian selepas parah di kepala.

“Dia tercampak kira-kira tiga meter selepas dirempuh, manakala kenderaan dinaiki tiga penumpang terbabas ke bahu jalan.

“Pemandu dan penumpang kenderaan tidak cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Alexson menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi had laju terutama ketika melalui kawasan kediaman dan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 11:36 AM