REMAJA ditahan kerana menunggang secara berbahaya dalam operasi sekatan jalan raya yang dijalankan di Jalan Raja Laut. FOTO NSTP
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur:Tindakan agresif dua remaja merempuh anggota polis dalam sekatan jalan raya di Jalan Raja Laut di sini, awal pagi kelmarin, membongkar rahsia mereka membawa kotak rokok mengandungi dadah dipercayai syabu.

Pemeriksaan terhadap dua remaja masing-masing berusia 12 dan 19 tahun yang menunggang motosikal Honda EX5 itu turut menemui ‘dapur’ untuk menghisap syabu di dalam kotak rokok berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dua remaja itu ditahan dalam operasi sekatan jalan raya diketuai Pegawai Turus Penguat Kuasa JSPT Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Shafiee Ishak.

Menurutnya, operasi bermula jam 11 malam hingga jam 2 pagi. Pihak kami mengeluarkan 470 saman membabitkan kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan, ubah suai ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan lain-lain kesalahan.


POLIS keluarkan 470 saman dalam operasi sekatan jalan raya yang diadakan bermula jam 11 malam hingga 2 pagi di Jalan Raja Laut. FOTO NSTP

“Dalam masa sama, enam lelaki berusia 16 hingga 19 tahun ditahan pasukan dari Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur kerana menunggang secara bahaya dengan menunjukkan aksi melawan arus, zig-zag di jalan dan bersaing sesama sendiri dalam kelajuan tinggi,” katanya.

Dia berkata, dua remaja berusia 16 dan 17 tahun ditahan kerana tiada lesen B2 yang sah manakala seorang lagi lelaki berusia 19 tahun turut ditahan kerana tiada lesen memandu sebelum semua yang ditahan dibawa ke balai bersama motosikal masing-masing.

“Ketika operasi ada motosikal dinaiki dua remaja cuba merempuh anggota bertugas sebelum pemeriksaan dijalankan. Pihak kami menemui sekotak rokok di celahan bahagian enjin yang mengandungi dadah dipercayai syabu selain peralatan untuk menghisap bahan itu.

“Kami percaya remaja terbabit cuba membuang bungkusan rokok itu, namun tidak berjaya. Ujian awal air kencing mendapati penunggang yang berusia 19 tahun positif dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 11:15 AM