MOTOSIKAL Yamaha Ego yang dicuri suspek. FOTO Ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


“SAYA nak masuk penjara”. Itu ungkapan lelaki sebaik dia ditahan selepas mencuri sebuah motosikal milik peniaga gerai makan di Pekan Jitra 2, di Kubang Pasu, malam semalam.

Malah, difahamkan, suspek berusia 42 tahun itu baru dibebaskan dari penjara atas kesalahan sama mencuri motosikal di kawasan Changlun, dua tahun lalu.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, mangsa yang meletakkan motosikal Yamaha Ego di hadapan gerainya terlihat suspek berusia 42 tahun membawa lari motosikal itu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, mangsa bersama pekerjanya kemudian mengejar suspek sebelum menahannya di hadapan sebuah pasar raya tidak jauh dari gerainya.

Menurutnya, dia kemudian menghubungi pihak polis yang datang tidak lama kemudian dan menahan semula suspek.

“Siasatan mendapati suspek tujuh rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah, curi kenderaan dan curi dalam bangunan di mana dia sudah dijatuhkan hukuman penjara.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 10:39 AM