LAWATAN rasmi Mohamad Sabu (berkot) melawat Kem Slim, Cameron Highlands ditular kononnya sebagai berkempen.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


KEMENTERIAN Pertahanan menafikan gambar tular menunjukkan Menteri Pertahanan menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua gambar yang tular berlaku pada hari dan tarikh berlainan.

“Gambar pertama yang memaparkan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang berlatar belakangkan helikopter adalah lawatan rasmi beliau sebagai Menteri Pertahanan ke Kem Slim, Cameron Highlands pada 9 Januari lalu.

“Beliau pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama selepas selesai lawatan berkenaan. Seperti dijelaskan sebelum ini, lawatan rasmi itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya,” katanya.

Menurutnya, gambar kedua yang memaparkan beliau ke penamaan calon PRK Cameron Highlands pada Sabtu lalu adalah menggunakan jalan darat dengan menaiki kenderaan persendirian dan pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai penamaan calon.

“Adalah jelas sekali bahawa kedua-dua gambar itu adalah pada hari dan tarikh yang berlainan.

“Kementerian Pertahanan meminta supaya pihak tertentu memeriksa terlebih dahulu untuk kesahihan maklumat sebelum menyebarkan perkara yang tidak benar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 11:21 PM