Rohaniza Idris
roha@bh.com.my


SEBARANG pemberian dalam bentuk wang tunai mahu pun ganjaran termasuk wang minyak yang diberikan kepada pengundi dengan niat untuk mendapatkan undi adalah kesalahan yang termaktub dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, Seksyen 10, akta berkenaan menjelaskan secara spesifik bentuk penyogokan bagi membeli undi.

Katanya, ada sembilan kesalahan penyogokan kepada pengundi berdasarkan seksyen itu, namun wang politik atau politik wang tidak dinyatakan spesifik dalam akta berkenaan.

Sembilan kesalahan penyogokan itu termasuk tawaran janji mendapatkan pinjaman, pekerjaan, jawatan,, kedudukan, bayaran pendahuluan, bayaran balik, balasan nilai (hadiah), tawaran tidak menjadi calon dan menjadi calon.

“Dalam kes di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, ada gambar menunjukkan wujud pemberian wang yang didakwa calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran sebagai bayaran untuk sukarelawan parti.

“Persoalannya, adakah sukarelawan itu adalah pengundi. Jika sukarelawan itu pengundi maka ia menyalahi akta berkenaan dan aduan boleh dibuat kepada Pegawai Pengurus Pilihanraya, polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM),” katanya kepada BH mengulas mengenai politik wang dan wang politik berikutan penyebaran gambar pemberian wang oleh petugas kempen calon PH di Cameron Highlands, baru-baru ini.

Isnin lalu, Manogaran dilaporkan berkata, isu pemberian wang kepada sukarelawan oleh individu yang dipercayai petugas PH bukanlah satu masalah besar kerana tidak menyalahi undang-undang.

Katanya, pemberian wang itu dikira sebagai sebahagian daripada perbelanjaan kempen pilihan raya.

Wan Ahmad menjelaskan, kebiasaannya memangparti politik dalam PRK mahu pun Pilihan Raya Umum (PRU) akan membayar petugas mereka.

Katanya, namun dalam kes ini bagaimana untuk membuktikan wang yang diberikan itu adalah termasuk dalam kos petugas kerana biasanya petugas adalah orang tempatan yang juga pengundi kawasan berkenaan.

“Ini perlu dijelaskan, jika tidak jelas ia melanggar peraturan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Sementara itu, Profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, tafsiran bagi politik wang dan wang politik untuk PRK Cameron Highlands itu memang sukar untuk ditafsirkan.

Katanya, tafsiran untuk politik wang dan wang politik ini perlu dirujuk kembali kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sama ada pemberian wang kepada petugas kempen itu boleh dikira sebagai sogokan atau memberi maksud yang lain.

“Buat masa ini pun, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun sendiri tidak membuat keputusan sama ada pemberian wang itu yang didakwa bayaran upah sukarelawan dibolehkan atau tidak.

“Saya bersetuju dengan pendirian itu kerana tidak memihak kepada mana-mana pihak,” katanya.

Beliau menegaskan definisi politik wang dan wang politik itu agak sukar kerana hanya mahkamah yang boleh menentukan sama ada wujud kesalahan menyogok itu atau tidak.

“Penghakiman bagi melucutkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 kerana memang wujud pemberian wang secara salah dan diputuskan satu bentuk kesalahan,” katanya .

Namun, beliau menjelaskan secara umumnya, politik wang itu membawa konotasi satu kesalahan itu jelas berlaku manakala wang politik itu adalah pemberian atau derma kepada mana-mana parti politik.

“Sudah ada kertas kerja untuk mewujudkan akta berkaitan wang politik ini supaya ada peraturan yang jelas bagi memastikan wang itu tidak disalah guna dan sumber dana itu diketahui sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya.

Pakar perlembagaan yang juga Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, dalam konteks pilihan raya, sesuatu yang diberikan perlu ditentukan sama ada ia sogokan atau perbelanjaan pilihan raya yang sah.

Katanya, jika wang itu diberikan untuk mempengaruhi pengundi maka dianggap sebagai sogokan tetapi pihak yang memberikan boleh menafikan bahawa ia adalah satu bentuk perbelanjaan pilihan raya.

“Penafian itu boleh diterima jika ada bukti yang menyatakan mereka itu petugas pilihan raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 7:24 PM