Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my


POLIS menahan lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ‘ketua negara’ sekali gus turut berpengaruh di beberapa negara di dunia, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata tangkapan ke atas suspek, 47, dilakukan sepasukan anggota polis di Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin, kira-kira jam 3 petang.

Menurutnya, penahanan suspek yang turut mendakwa diri adalah pemilik sebenar kerajaan Melayu dengan gelaran ‘Sultan Sheikh Ahmad Abdul Kadir Iskandar Zulkarnain’ susulan laporan polis yang dibuat.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan jalan penyamaran.

“Selain itu, polis turut merampas pelbagai barangan di dua lokasi termasuk di rumah suspek seperti 10 bilah keris pelbagai saiz, tombak (1), pedang pelbagai saiz (8), dulang tembaga (1) dan batu jade naga (1),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, suspek menganjurkan majlis di sebuah inap desa di Sungai Rambai yang dihadiri kira-kira 100 pengikut dengan turut menunjukkan keris dan pedang serta arca kaca yang didakwa sebagai alat kebesarannya.

Arshad berkata, siasatan awal mendapati pelbagai dokumen seperti resit bayaran ahli Pertubuhan ‘Sultan Sheikh Ahmad Abdul Kadir Iskandar Zulkarnain’ dikesan di dua premis berkenaan dan pertubuhan terbabit juga disahkan tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Setakat ini, kita sudah merakam keterangan 20 ahli pertubuhan itu dan ujian saringan air kencing yang dilakukan negatif dadah.

“Siasatan juga mendapati, suspek mempunyai empat rekod jenayah berkaitan kes penipuan, curi dalam bangunan dan gagal memberi keterangan di Perak,” katanya.

Katanya, suspek direman empat hari sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan.

Berita berkaitan

'Ketua negara' disiasat polis [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 6:36 PM