PENGUATKUASA JPV memeriksa kawasan perumahan sekitar LMS berikutan penyakit rabies. FOTO Muhaizan Yahya
Shamsul Kamal Amarudin
shaka@nstp.com.my


KERAJAAN Perak meminta semua pemilik anjing di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) mematuhi arahan ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengelak penyebaran jangkitan anjing gila atau rabies.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, adalah penting untuk semua penduduk berkaitan memastikan wabak berkenaan terkawal termasuk segera membawa anjing peliharaan masing-masing mendapatkan suntikan pelalian atau vaksin.

“Saya sudah diberi taklimat mengenai perkara ini semalam sebelum menandatangani pewartaan LMS termasuk bandar Taiping sebagai kawasan jangkitan anjing gila atau rabies.

“Pemilik anjing perlu mengambil langkah proaktif bagi mengelak wabak ini menular ke kawasan lain,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian majlis pecah tanah projek perumahan Naluri Perdana Gopeng di Gopeng hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah LMS diwartakan sebagai kawasan jangkitan anjing gila berkuat kuasa serta-merta.

Beliau dilaporkan berkata, ia susulan aduan daripada seorang pemilik anjing dua ahli keluarganya digigit anjing peliharaan di Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping 31 Disember lalu dengan sampel otak haiwan itu diuji dan disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh pada keesokannya.

Dr Quaza Nizamuddin dipetik berkata, tiga lagi sampel anjing liar dikesan positif daripada 30 sampel yang diambil pada 11 Januari lalu iaitu di sekitar kawasan Tupai Business Centre dan Pekan Sri Boyan.

Ahmad Faizal berkata, kebimbangan pihaknya ialah kanak-kanak yang bermain di luar rumah termasuk di padang permainan awam diserang oleh anjing yang dijangkiti sehingga mereka turut menerima jangkitan wabak berkenaan.

Beliau berkata, selain itu, tindakan proaktif pemilik anjing juga dapat mengelakkan wabak berkenaan merebak ke luar daerah berkenaan yang boleh mendatangkan masalah lebih serius di negeri ini.

Justeru, katanya, kerjasama antara JPV negeri dengan PBT di daerah berkenaan yang dilakukan sekarang adalah penting untuk memastikan pengawalan serta penguatkuasaan lebih tersusun dilakukan bagi menangani wabak berkenaan.

“Wabak ini bukan berpunca dari sini (LMS), tetapi ia dari tempat luar terutama utara.

“Saya tidak mahu buat tuduhan (tetapi) sebab itu kawasan ini (LMS) pernah dijangkiti wabak rabies sebelum ini, dan sekarang kena lagi, jadi perlu ambil tindakan segera,” katanya.

Berita berkaitan

Taiping, Bukit Gantang diwarta wabak rabies

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 3:44 PM