FOTO hiasan
Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


BERMODALKAN mesej melalui aplikasi WhatsApp, sindiket ‘parcel scam’ dikesan mengaut keuntungan mudah sehingga mengakibatkan seorang peniaga di Mentakab, berputih mata apabila wang simpanannya RM12,700 lesap selepas diperdaya sindiket terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, episod hitam lelaki berusia 24 tahun itu bermula Rabu lalu, apabila menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor 011-36209019.

“Mangsa mendakwa dihubungi seorang ejen broker dari Australia yang mana dia menerima satu bungkusan dari Doorstep Express Delivery dan jika mangsa inginkan bungkusan itu, dia perlu membayar sebanyak RM1,700.

“Tidak mengesyaki apa-apa, mangsa kemudian memindahkan wang melalui perbankan Internet ke dalam satu akaun yang diberi sebelum dihubungi ejen berkenaan dan mendakwa mangsa turut terbabit dengan penggubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Wazir berkata, pada keesokannya, mangsa diminta oleh suspek untuk memasukkan RM1,500 dan RM4,000 ke dalam akaun yang sama sebagai cagaran kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Mangsa juga meminta wang sebanyak RM5,500 kononnya supaya mangsa bebas daripada pelaburan wang haram. Suspek turut mendakwa mangsa akan mendapatkan wang berkenaan semula selepas semua urusan selesai.

“Dia kemudian memindahkan semua wang yang diminta menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM12,700 ke dalam dua akaun berbeza yang diberi oleh suspek.

“Bagaimanapun, suspek meminta lagi mangsa membuat pindahan wang sebanyak RM10,500. Mangsa yang menyedari ditipu sindiket terbabit kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 10:55 AM