LAPORAN portal berita Harian Metro, Khamis lalu mengenai dua suspek ditahan kerana membawa syabu dalam tong ikan.
Norzamira Che Noh
cnews@nstp.com.my


SEORANG suspek kes dadah ditemui mati tergantung dalam tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) daerah Klang, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, dalam kejadian 7.15 pagi itu suspek berusia 31 tahun itu ditemui tergantung pada jeriji besi lokap berkenaan menggunakan baju lokap APMM.

“Susulan itu, seorang penolong perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang hadir memeriksa dan mengesahkan suspek sudah meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan koroner tidak menemui sebarang kecederaan luaran pada badan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil bedah siasat dijalankan pada 10.30 pagi hari ni mendapati punca kematian adalah ‘tergantung’ dan tiada unsur jenayah dikesan.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai nelayan di Sungai Pelek, Sepang itu ditahan oleh APMM mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) di perairan Tanjung Rhu pada 9 Januari lalu.

“Suspek ditahan kerana memiliki 22 bungkusan ketulan yang disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 23 kilogram.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula dari tarikh ditangkap sehingga esok dan ditahan di lokap APMM di Tanjung Harapan, Klang,” katanya.

Khamis lalu, NSTP melaporkan tindakan berani dua penyeludup membawa keluar dadah jenis methamphetamine atau syabu dianggar bernilai RM3.45 juta melalui jalan laut membawa padah selepas perbuatan mereka digagalkan APMM, pagi Rabu lalu.

Lebih berani, dadah itu hanya diletakkan dalam satu-satunya tong ikan berwarna jingga yang dibawa menggunakan bot gentian kaca itu tanpa dilindungi apa-apa bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Laksamana Madya Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata dalam kejadian 7.30 pagi itu, suspek berusia 27 tahun dan 31 tahun ditahan bot ronda APMM Selangor selepas dikejar selama 15 minit pada jarak 1.1 batu nautika dari Sungai Belankan, di perairan Tanjung Rhu.

Berita berkaitan

'Syabu RM3.45 juta dalam tong ikan [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 5:21 PM