ANTARA lelaki warga asing yang ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri. FOTO ihsan PPM
Hazsyah Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan empat lelaki warga asing kerana cuba memasuki negara ini secara haram melalui perairan Sabah Baru, dekat Lahad Datu, semalam.

Semua suspek berusia 18 hingga 32 tahun berkenaan ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri oleh anggota PPM yang menjalankan Ops Landai di perairan itu pada 4.30 pagi.

Difahamkan, tiga daripada suspek yang menaiki bot datang dari Tawi-Tawi, selatan Filipina untuk menemui ibu bapa mereka yang sudah menetap di negeri ini.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayan Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, sepasukan anggota PPM dihantar ke lokasi berkenaan selepas menerima maklumat daripada Unit Risikan Marin (URM) yang mengesan bot pam dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik dihampiri, bot pam itu memecut disyaki cuba melarikan diri tetapi berjaya dipintas dan ditahan.

“Pemeriksaan mendapati, terdapat tiga lelaki berumur 18 hingga 26 tahun dan semuanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Sebuah lagi bot pam yang dikendalikan seorang lelaki berumur 32 tahun turut ditahan atas kesalahan sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, keempat-empat lelaki itu ditahan dan dua bot serta dua unit enjin pam dirampas sebelum dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan dianggarkan RM4,700 dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 11:15 AM