AHLI keluarga serta saudara mara mengaminkan doa selepas pengebumian Nazirah di Tanah Perkuburan Islam Sungai Jati, Kampung Jawa, Klang malam ini. FOTO Faiz Anuar
Siraj Mohd Zaini dan Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my


JENAZAH seorang daripada dua sahabat yang terbabit dalam kemalangan ngeri di Persiaran Hulu Langat, pagi hari ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Jati, di Klang kira-kira jam 8.35 malam tadi.

Nazirah Mohd Halid, 22, yang bekerja sebagai guru agama di sebuah sekolah tahfiz di Alam Megah, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam kemalangan jam 10.40 pagi, mangsa yang membonceng motosikal yang ditunggang rakannya Siti Mukarromah Mohd Jaizun, 20, dipercayai membuat pusingan u secara tiba-tiba di laluan berkenaan lalu dirempuh sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) BMW X3 yang tidak sempat mengelak.

Bapa mangsa yang mahu dikenali Mohd Halid, 40an berkata, Nazirah ada menghubungi adiknya semalam bertanya mengapa bapa mereka tidak menjemputnya di asrama tempat tinggalnya.

Katanya, beliau tidak dapat menjemput anaknya itu berikutan perlu menguruskan perkara berkaitan adik Allahyarham.

Beliau berkata, anaknya itu tidak menetap bersama-sama keluarga di Klang, sebaliknya tinggal di kediaman yang disediakan pengurusan sekolah tahfiz tempatnya bekerja.

“Minggu lalu saya ada membawanya ke rumah kenduri. Saya ada datang membawa makanan untuk anak saya Jumaat lalu dan kami bersembang seperti biasa.

“Cuma arwah ada bertanya mengapa ayah bawa banyak makanan dan saya cakap boleh kongsi dengan kawan-kawannya yang lain,” katanya kepada pemberita selepas pengkebumian jenazah Nazirah.

Kira-kira 50 ahli keluarga dan rakan serta saudara mara menziarahi jenazah di tanah perkuburan berkenaan malam tadi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, siasatan awal polis mendapati, SUV terbabit dalam perjalanan dari arah Persiaran Sepang dan bergerak secara lurus.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku apabila motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan dipercayai secara tiba-tiba membelok masuk ke simpang kanan jalan raya berkenaan.

“Kenderaan dipandu lelaki berusia 32 tahun itu tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal mangsa.

“Penunggang dan pembonceng disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Azman berkata, SUV berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian depan manakala motosikal mangsa ditemui terperosok di bawah kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan'Dua sahabat maut, motosikal terperosok di bawah SUV'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 10:26 PM